Sunday 29 July 2012

Depresi


Tempat lain terlalu bising dan terlalu mahal untuk aku bersuara. Kecuali di sini. Yang mana para pemerhatinya masih boleh dibilang dengan jari tangan dan kaki.

Aku hairan dari mana datangnya kudrat untuk aku bangun pagi, berdiri, berjalan dan bercakap, seperti tiada apa yang berlaku. Aku pilih untuk hari ini semata-mata kerana aku seorang muslim.

Perkara sulit dan rumit begini aku tak berbual dengan sesiapa. Dunia sudah cukup ramai penyindir, pencebik, penyalah faham dan pengeruh keadaan yang menakutkan. Bukan budaya kita untuk mengalami tekanan. Bukan benda yang kita percaya ada.

"Tak ada apa yang kekal," kata Ayah.
Dan aku fikir, betul, tak ada apa yang kekal.
Tidak kawan, tidak keluarga.
Tak ada apa yang kekal.

Ujar Ayah lagi, "teman susah, susah dicari." 
Dengan lemah aku mengangguk.

Dunia ini terlalu hebat untuk aku huni. Isinya orang-orang yang terlalu lantang, terlalu yakin, terlalu bahagia, terlalu sedih, terlalu pemangsa dan terlalu dimangsa.

Bila hati sudah benci, yang baik semua dilempar pergi. Jadi apalah gunanya.

Tiap kali aku menulis begini, perut aku sakit. seluruh badan aku rasa dingin. Bulu roma aku menegak, seperti di belakang tengkuku ada sesuatu yang menyelinap. Bila ketawa, aku terdiam semula. Takut. Takut ketawa jadi airmata. Takut gembira itu merbahaya.

Aku penat.
Penat tidur malam dipaksa-paksa.
Penat bila berjaga, aku ditolak-tolak ke hujungnya.

Aku termenung memandang skrin.
Dengan satu klik aku boleh beli tiket kapalterbang untuk pergi beberapa hari.

Tapi tak boleh.
Tak boleh. Tak boleh. Tak boleh.
Yang tercipta untuk aku cuma letih.

Aku masih di sini. Airmata panas bergenang lagi.

No comments:

Post a Comment