Sunday 29 July 2012

Depresi


Tempat lain terlalu bising dan terlalu mahal untuk aku bersuara. Kecuali di sini. Yang mana para pemerhatinya masih boleh dibilang dengan jari tangan dan kaki.

Aku hairan dari mana datangnya kudrat untuk aku bangun pagi, berdiri, berjalan dan bercakap, seperti tiada apa yang berlaku. Aku pilih untuk hari ini semata-mata kerana aku seorang muslim.

Perkara sulit dan rumit begini aku tak berbual dengan sesiapa. Dunia sudah cukup ramai penyindir, pencebik, penyalah faham dan pengeruh keadaan yang menakutkan. Bukan budaya kita untuk mengalami tekanan. Bukan benda yang kita percaya ada.

"Tak ada apa yang kekal," kata Ayah.
Dan aku fikir, betul, tak ada apa yang kekal.
Tidak kawan, tidak keluarga.
Tak ada apa yang kekal.

Ujar Ayah lagi, "teman susah, susah dicari." 
Dengan lemah aku mengangguk.

Dunia ini terlalu hebat untuk aku huni. Isinya orang-orang yang terlalu lantang, terlalu yakin, terlalu bahagia, terlalu sedih, terlalu pemangsa dan terlalu dimangsa.

Bila hati sudah benci, yang baik semua dilempar pergi. Jadi apalah gunanya.

Tiap kali aku menulis begini, perut aku sakit. seluruh badan aku rasa dingin. Bulu roma aku menegak, seperti di belakang tengkuku ada sesuatu yang menyelinap. Bila ketawa, aku terdiam semula. Takut. Takut ketawa jadi airmata. Takut gembira itu merbahaya.

Aku penat.
Penat tidur malam dipaksa-paksa.
Penat bila berjaga, aku ditolak-tolak ke hujungnya.

Aku termenung memandang skrin.
Dengan satu klik aku boleh beli tiket kapalterbang untuk pergi beberapa hari.

Tapi tak boleh.
Tak boleh. Tak boleh. Tak boleh.
Yang tercipta untuk aku cuma letih.

Aku masih di sini. Airmata panas bergenang lagi.

Saturday 7 July 2012

Tik..Tok..Tik..Tok..


Tik..Tok..Tik..Tok..
jam di dinding itu masih lagi teguh bernafas 
dikala manusia sedang terjun dalam mimpi
Dia memerhati, memerhati dan memerhati 
seolah esok gambar itu akan pupus
 Tersenyum dikala sunyi

Tik..Tok..Tik..Tok..
jam di dinding bernyanyi riang
mengikut melodi yang dicipta sendiri
retorik itu tiba-tiba menjadi basi
Aku yang merupakan satu-satunya saksi luas dan selesa
atas prahara kecil ini sedang bersorak dalam hati
malam ini akan aku gantungkan di ampaian ingatan
Hujan kian lantang memalu kulit bumi
daun-daun pun lari ketakutan

Tik..Tok..Tik..Tok..
jam di dinding sekali lagi sibuk berkaroke
irama rock, dangdut, hiphop menjadi rentak
nyamuk yang sedang sibuk mencari mangsa
manusia pula sedang sibuk menjadi pelakon dalam dunia fantasi
tempoh bekerjanya bermula bila mata dipejam
deruman enjin yang bunyinya seakan-akan menangkap tubuh

Tik..Tok..Tik..Tok..
Jam di dinding sedang sibuk mengisi tangki minyak
yang kehabisan tenaga untuk menari
Aku pula terlalu paranoid ketika itu
Detak jantung menjadi laju
pernafasan seperti kuda di medan perang
Aku mencongak setiap risiko yang bakal datang 


p/s : ternyata mimpi lebih nyata daripada kehidupan realiti